Sabtu, 1 Mei 2021

Pengasuh, suami dipercayai bunuh bayi 9 bulan

Oleh MASZUREEN HADZMAN
 

PETALING JAYA: Seorang pengasuh wanita dan suaminya ditahan selepas disyaki membunuh seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan, Selasa lalu.

Pasangan berusia 35 tahun itu ditahan di sebuah rumah di pangsapuri Jalan PJU 1A/42 di sini, pada pukul 8 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pada mulanya polis menerima maklumat daripada seorang doktor hospital kerajaan mendakwa menerima bayi lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Bayi itu dibawa seorang lelaki dipercayai suami pengasuh kira-kira pukul 7 malam pada hari kejadian.

“Hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan lebam di bahagian mulut dan cedera di bahagian dubur mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohamad Fakhrudin, bertindak atas maklumat itu polis menahan pasangan suami isteri itu bagi membantu siasatan lanjut.

Menurutnya, semakan rekod lampau mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod berkaitan dadah.

“kedua-dua suspek ditahan reman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: