Selasa, 6 April 2021

Kekang pegawai polis bersekongkol dengan penjenayah

Kuala Lumpur: Perlu satu mekanisme bebas bagi memastikan pegawai polis yang bersekongkol dengan orang kenamaan didakwa.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya menyarankan agar sistem pemantauan yang berkesan diwujudkan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi memastikan gejala seumpama itu tidak berleluasa.

Katanya, Mapim memandang serius pendedahan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menyatakan kewujudan sejumlah pegawai PDRM dikatakan dibela oleh seorang kenamaan.

"Hal ini sangat serius dan perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

"Agensi keselamatan awam terpenting adalah PDRM. Keyakinan masyarakat terhadap pasukan adalah nadi kepada sistem pertahanan yang boleh dipercayai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Azmi berkata, integriti agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga keamanan dan keselamatan awam, menentukan sejauh mana kepercayaan masyarakat terhadap PDRM dapat diperkukuhkan.

Katanya, segelintir pegawai PDRM yang mungkin terbabit ini boleh menjatuhkan imej dan integriti pasukan.

"Rakyat sepatutnya selesa dengan perkhidmatan anggota PDRM, namun jika wujud kepincangan dalam integriti, pasti keyakinan rakyat akan luntur terhadap polis.

"Adalah sangat penting tindakan tegas diambil untuk memastikan PDRM bersih dari salah guna kuasa," katanya.

Sebelum ini media melaporkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sedang mendapatkan senarai nama pegawai dan anggota polis yang bersekongkol dengan kumpulan jenayah terancang, Geng Nicky yang didalangi Pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, pihaknya sudah menghubungi Ketua Polis Johor (Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay) bagi mendapatkan senarai nama mereka yang terbabit dan akan diserahkan dalam masa terdekat.

Tiada ulasan: