Sabtu, 3 April 2021

Jurugambar didenda RM15,000 muat naik status jelik hina agama Hindu

Oleh NORLIZAH ABAS
 

KUALA LUMPUR: Seorang jurugambar syarikat produksi didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua kesalahan memuat naik status jelik menghina agama Hindu dalam Facebook miliknya, dua tahun lalu.

Hakim M.M Edwin Paramjothy memutuskan demikian terhadap Zamri Abdul Razak, 54, selepas mendapati lelaki itu bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.

Kesalahan pertama, jurugambar itu didenda RM8,000 atau penjara enam bulan manakala kesalahan kedua dia dikenakan denda RM7,000 atau penjara enam bulan. Denda itu dibayar.

Edwin Paramjothy dalam penghakiman bertulisnya berpendapat, meskipun kebebasan bersuara merupakan keistimewaan yang sangat berharga termaktub di bawah Perlembagaan, namun kebebasan itu berakhir apabila melibatkan agama dan kepercayaan penganutnya.

Menurut beliau, kebebasan bersuara tidak termasuk perkara yang melibatkan tindakan menghina dan merendah-rendahkan mana-mana agama dan kepercayaan pengikut agama lain tanpa dikenakan sebarang hukuman.

Hakim berkenaan menjelaskan, kesalahan menghina agama lain dilakukan bukan sahaja terhadap penganut malah melibatkan nilai-nilai dan fungsi agama itu kepada pengikutnya, yang mana isu agama bersifat peribadi dan sangat dekat di hati mereka yang mempercayainya.

Sehubungan itu, mana-mana individu sepatutnya berhati-hati ketika mengamalkan kebebasan bersuara agar tidak menyentuh kepercayaan agama lain sehingga melukakan sentimen pihak tertentu.

Ujar Edwin Paramjothy, sikap tolenrasi dan saling menghormati kesamarataan maruah penduduk membentuk asas demokrasi di negara ini.

Dalam penghakimannya, hakim itu turut menjelaskan, walaupun mahkamah tidak memaafkan kesalahan tertuduh, pihaknya mengambil kira keadaan-keadaan persekitaran kesalahan dilakukan, ketika mempertimbang hukuman.

Jelas Edwin Paramjothy, mahkamah beranggapan hukuman pemenjaraan bagi kesalahan sebegitu perlu dikenakan kepada bentuk-bentuk penghinaan yang paling keji dan merbahaya iaitu yang melibatkan penggunaan bahasa yang menghina atau perkataan yang menyinggung perasaan, grafik dan isyarat yang mana ia tidak berlaku dalam kes di hadapan beliau.

Ujarnya, komunikasi yang dihantar dalam Facebook milik tertuduh merupakan komen yang tidak dihantar secara berterusan atau menyiarkan pernyataan keji selanjutnya.

Edwin Paramjothy turut menyatakan mahkamah memberi pertimbangan terhadap keadaan kesihatannya yang masih menerima rawatan akibat penyakit jantung.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Zamri didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dua komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu melalui aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil `Zamri Bin Abd. Razak’.

Kedua-dua pautan itu kemudian dibaca seorang pengguna Facebook `Saravana Kumar’ di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju, di sini, pukul 12.45 tengah hari, 10 Mac 2019.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum menurut Seksyen 233(3) akta sama memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling mewakili pihak pendakwaan manakala peguam Mohd. Harris Al-Hajj Abdullah mewakili tertuduh. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: