Rabu, 21 April 2021

ISMA, Yayasan Ikhlas, Yayasan Maghfirah sasar bantu 10,000 asnaf

Siti Hafidah

Kempen Bakul Kasih Ramadan, Kotak Kasih bergerak ke seluruh negara

BANGI – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) – dengan kerjasama Yayasan Ikhlas serta Yayasan Maghfirah – melancarkan kempen Bakul Kasih Ramadan dan Kotak Kasih bagi membantu golongan asnaf di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan ini.

Kempen tersebut menyasarkan 10,000 orang penerima dan setakat minggu lepas seramai 3,000 asnaf telah disalurkan bantuan.

Naib Presiden (Biro Dakwah) ISMA, Mohd Noor Azib Asmangi berkata, kempen dilaksanakan bagi membantu golongan asnaf dan B40 yang dalam kesusahan, lebih-lebih lagi di dalam bulan yang mulia ini.

“Sesetengah penerima sumbangan memang telah menerima bantuan zakat dan baitulmal, tetapi bantuan yang ISMA berikan ini adalah dalam bentuk barang asas seperti beras, telur, minyak, tepung, kurma dan sebagainya.

“Ada juga dalam kalangan penerima bantuan adalah anak muda yang merupakan ketua keluarga yang telah kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 dan ibu tunggal yang berpendapatan rendah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Noor Azib memaklumkan, lebih 1,000 orang sukarelawan di seluruh 43 cawangan ISMA terlibat mengedarkan bantuan kepada golongan sasar sama ada di kampung mahupun di bandar.

Katanya, usaha ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab dakwah ISMA dalam bentuk kebajikan kepada masyarakat.

“Selari dengan imej sebagai sebuah NGO prihatin dan dekat dengan masyarakat, ISMA berharap agar bantuan yang diberikan ini dapat memberi sedikit keceriaan kepada mereka sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat untuk menyumbang, boleh menyalurkan sumbangan ke Tabung Infaq Ramadan menerusi akaun Maybank 562218201823.

Tiada ulasan: