Khamis, 15 April 2021

Harimau Malaya kena ‘cucuk’ Isnin depan

 Oleh SUFIAN HADI SOJAK

KUALA LUMPUR: Seramai 78 pemain Harimau Malaya termasuk pegawai dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin akan divaksinkan Isnin depan di Putrajaya.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam sidang akhbar pada majlis pelancaran Detik 100 Hari ke Olimpik Tokyo.

“Alhamdulillah berkat daripada usaha kita yang berterusan, kami ingin memaklumkan bahawa sejumlah 78 pemain, jurulatih dan pegawai termasuk Presiden FAM akan divaksinkan pada tarikh yg lebih awal iaitu 19 April ini hari Isnin di Dewan Seri Seroja, Presint 15, Putrajaya.

“Bermakna mereka dapat divaksin sepenuhnya (dua dos) sebelum berangkat ke Dubai bagi menghadapi perlawanan bermula 23 Mei,” katanya.

Dos kedua akan diterima tiga minggu atau 21 hari selepas suntikan pertama iaitu pada 10 Mei.

Skuad Harimau Malaya pada awalnya dijadualkan menerima suntikan vaksin tersebut pada penghujung bulan April ini.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan menyertai kem latihan pada 16 Mei ini, sebelum berlepas ke Bahrain tiga hari kemudian. UTUSAN

Tiada ulasan: