Khamis, 15 April 2021

Abdul Hadi bidas usaha gagalkan D-8

Oleh OMAR ZIN
ABDUL HADI AWANG

PETALING JAYA: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menempelak tindakan sesetengah pihak yang cuba menggagalkan usaha untuk mengaktifkan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit).

Beliau berkata, walaupun D-8 yang ditubuhkan pada 1997 dianggotai lapan buah negara Islam iaitu Malaysia, Turki, Iran, Pakistan, Mesir, Indonesia, Nigeria dan Bangladesh, ada sebahagian dalam kalangan negara Islam bersikap negatif terhadap kerjasama tersebut.

“Lebih malang lagi, terdapat dalam kalangan mereka itu bersedia menjadi alat untuk menggagalkan matlamat D-8 yang diatur sebegitu rupa demi kebaikan dan kemajuan mereka sendiri.

“Mereka berusaha menggagalkan sebarang usaha untuk mengaktifkan D-8 melalui KL Summit antara empat buah negara yang dikecilkan jumlahnya, bagi memudahkan masing-masing bergerak secara aktif dan usaha dalam mengaktifkan semula D-8,” katanya dalam kenyataan di akaun Facebook rasmi miliknya.

Malah, Abdul Hadi menyifatkan pihak yang cuba menggagalkan usaha mengaktifkan D-8 memberikan alasan yang sangat dangkal dan terlalu remeh.

“Lebih terang lagi bersuluh, sekiranya dibaca kenyataan media beberapa negara tersebut yang jelas menunjukkan mereka itu laksana kerbau yang dicucuk hidung, boleh diheret untuk menjadi perahan susu, membajak tanah, dilagakan sesama kerbau dan disembelih apabila perlu,” katanya.

Pada masa sama, Abdul Hadi berpendapat, tidak salah untuk mewujudkan pakatan antara negara umat Islam, selain daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dianggap terhad peranannya.

“Tujuan kerjasama D-8 lebih menumpukan kepada kerjasama kemanusiaan, ekonomi dan keamanan. Kumpulan negara Islam D-8 pada awalnya menunjukkan beberapa inisiatif dalam aspek kerjasama ekonomi dan teknologi.

“Kerjasama dapat diwujudkan walaupun terdapat perbezaan ideologi politik, kesan daripada zaman penjajahan di negara masing-masing di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya. UTUSAN

Tiada ulasan: