Ahad, 18 April 2021

Empat ditahan terlibat iklan judi kedua

Oleh MASZUREEN HADZMAN

PETALING JAYA : Empat lagi individu ditahan selepas dipercayai menjadi pelakon dalam video terbaharu iklan lagu raya yang mempromosikan kegiatan judi.

Kesemua mereka ditahan terdiri tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 24 tahun hingga 32 tahun.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, semua pelakon terbabit ditahan petang semalam di Ampang.

“Hasil siasatan mendapati kesemua mereka menerima upah sebanyak RM200 setiap seorang bagi menjadi pelakon dalam iklan itu.

“Empat individu terbabit kini ditahan reman selama dua hari bermula hari ini sehingga esok.

“Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana terbabit dalam sebaran video mempromosikan perjudian dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, sebanyak lapan individu termasuk tiga wanita ditahan polis dipercayai terlibat dalam pembikinan video promosi judi dalam talian yang pertama.

Kesemua mereka adalah pelakon, ejen, artis, jurukamera, pengarah dan produser.

Terdahulu, media melaporkan satu lagi video iklan lagu raya yang mempromosikan kegiatan judi tular dalam media sosial.

Video itu tular selepas video pertama yang juga menggunakan modus operandi sama bagi menarik pelanggan dalam kalangan umat Islam.

Rakaman video lagu raya berkenaan memaparkan aksi lakonan serta nyanyian oleh seorang lelaki dan seorang wanita yang mempromosikan permainan judi.

Susulan itu, polis sedang mengesan lelaki dipercayai menjadi dalang utama pembikinan dua video iklan lagu raya yang mempromosi kegiatan perjudian.

Lelaki berusia 35 tahun dikenali sebagai Loh Kee Hoe beralamat terakhir di Kuala Lumpur. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: