Ahad, 11 April 2021

Eddin Syazlee mohon maaf tertidur pada majlis Graduasi Huffaz

EDDIN Syazlee. FOTO arkib NSTP
EDDIN Syazlee. FOTO arkib NSTP

Seremban: Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Eddin Syazlee Shith memohon maaf susulan video tular yang menunjukkan beliau tertidur ketika berlangsungnya majlis Khatam Al-Quran dan Graduasi Huffaz di Palm Mall dekat sini, semalam.

Menurut Pegawai Tugas Khas Farahiah Zubir, Timbalan Menteri Kerja Raya itu keletihan dan kurang sihat namun bagi memenuhi undangan jemputan beliau tetap hadir ke majlis itu.

"Untuk makluman Datuk Eddin Syazlee memohon maaf kerana tertidur pada acara itu. Beliau makan ubat sebelum ke majlis tetapi tetap menggagahkan diri untuk memenuhi jemputan.

"Alhamdulillah pada majlis itu Datuk Eddin Syazlee meluluskan pemasangan penghawa dingin di Dewan Sekolah Menengah Sains Kuala Pilah dan menyumbang sedikit dana bagi membantu pihak sekolah memperoleh bas untuk kegunaan pelajar," katanya ketika dihubungi Bernama.

Video yang tular di media sosial hari ini menunjukkan Eddin tertidur di kerusi ketika namanya dipanggil oleh pengacara majlis bagi menyempurnakan program berkenaan.

Tiada ulasan: