Ahad, 11 April 2021

Pasar 'sesak', orang ramai buat persediaan sambut Ramadan

Kuala Lumpur: Menjelang 1 Ramadan yang dijangka bermula Selasa ini, orang ramai sudah membuat persediaan bagi menyambut bulan mulia itu termasuklah membeli barangan keperluan asas.

Jumlah pengunjung ke beberapa pasar di ibu kota juga dilihat meningkat berbanding sebelum ini.

Tinjauan Harian Metro di beberapa pasar termasuk Pasar Chow Kit mendapati, pengunjung dari jauh mahupun dekat dengan kawasan pasar itu mengunjungi premis berkenaan untuk membeli bahan mentah dijadikan sebagai 'stok' untuk menyambut kedatangan Ramadan.

Kakitangan swasta, Norhayati Baharom, 50, berkata, dia yang menetap di Petaling Jaya datang membeli barang keperluan di Pasar Chow Kit.

"Mulanya cadang nak datang Isnin, tetapi disebabkan anak sekolah jadi saya datang beli barang hari ini," katanya.

Norhayati berkata, dari segi penjagaan prosedur operasi standard (SOP), pengunjung masih mematuhi SOP dengan pemakaian pelitup muka dan berbaris untuk pemeriksaan suhu sebelum memasuki pasar.

Bagi Nor Diana Abd Malek, 33, juga pekerja swasta berkata, dia datang daripada Ampang untuk mencari barang keperluan sempena bulan Ramadan kerana banyak pilihan boleh didapati di sini.

"Saya datang jam 8 pagi. Waktu saya sampai masih belum ramai, namun bila saya mula masuk, saya dapat lihat sudah ramai orang di belakang (beratur)," katanya.

Bagi peniaga di pasar berkenaan, Ahmad Sudais Mohd Shahar, 19, dia yang memulakan perniagaan pada 6 pagi mendapati sudah ada pengunjung ke premis berkenaan.

"Jam 6 pagi sudah ada pengunjung (pelanggan), namun keadaan masih belum ramai seperti sekarang.

"Kita dapat lihat perbezaan (pertambahan pengunjung) hari ini kerana ramai orang beli barang keperluan untuk menyambut Ramadan," katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati rata-rata pengunjung masih mematuhi SOP dengan pemakaian pelitup muka, serta penjarakan sosial ketika beratur dan pemeriksaan suhu sebelum memasuki pasar berkenaan.

Tiada ulasan: