Khamis, 22 April 2021

Edar dadah 149.5 gram, duda ke tali gantung

 Foto hiasan
Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang duda anak enam dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 149.5 gram dadah jenis methamphetamine, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu ke atas Shahfary Sabri, 47, selepas mahkamah berpuas hati tiada keraguan munasabah yang ditimbulkan oleh pihak pembelaan.

Shahfary dituduh mengedar dadah itu di sebuah bilik hotel, di sini, pada 19 Oktober 2018, mengikut Seksyen 38B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama, yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Dalam prosiding perbicaraan sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa tertuduh ditahan pihak polis di kawasan lobi hotel sebelum dibawa naik ke sebuah bilik hotel itu untuk pemeriksaan lanjut.

Siasatan polis menemukan dadah dibungkus di dalam sebuah plastik hitam bertulis perkataan 'Thank You' di celah pinggang seluar tertuduh.

Lima saksi pendakwaan dan satu saksi pembelaan iaitu tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 3 September 2020.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Annur Atiqah Abd Hadi, manakala tertuduh diwakili peguam Haris Salleh Hamzah. – BERNAMA

Tiada ulasan: