Selasa, 20 April 2021

Denda RM4,000 jual, miliki cecair rokok elektronik ada nikotin

Bangunan Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEORANG peniaga didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menjual dan memiliki cecair rokok elektronik yang mengandungi nikotin pada 2018.

Majistret Nur Faizah Abdul Sani menjatuhkan hukuman denda RM2,000 ke atas Saiful Hairuddin Abdul Salam, 42, masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua serta memerintahkannya dipenjara dua bulan bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Saiful Hairuddin didakwa bukan sebagai orang yang dilesenkan mengikut Akta Racun 1952 untuk menjual racun secara runcit, iaitu sebotol Cloud Chasers Sirap Bandung yang mengandungi nikotin yang disenaraikan dalam Jadual Pertama akta sama di Pusat Komersial Seksyen 7 di sini pada 2.45 petang, 29 Januari 2018.

Dia dituduh mengikut Seksyen 16(1) Akta Racun 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 32(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Saiful Hairuddin juga didakwa bukan sebagai orang yang dilesenkan untuk menjual atau membekalkan racun telah memiliki untuk tujuan jualan iaitu 40 kotak serta 15 botol cecair rokok elektronik di lokasi dan tarikh yang sama.

Lapor Bernama, pertuduhan itu mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun itu dan boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa Fauziah Mohamed Ismail memohon denda setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran namun Saiful Hairuddin yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan perniagaan tersebut sudah tidak beroperasi selain dia perlu menanggung ibu bapa yang uzur.

Tiada ulasan: