Khamis, 1 April 2021

Cari pelapis nasyid, marhaban

PENGANJURAN Iftar Ramadan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) setiap tahun tidak lengkap tanpa diserikan dengan pertandingan nasyid.

Mereka menjalinkan kerjasama dengan Rabbani Productions (M) Sdn Bhd bagi tujuan mencari pelapis dalam genre ini.

Biarpun berdepan pandemik Covid-19, program ini tetap dijalankan tahun ini mengikut norma baharu yang ditetapkan kerajaan.

Untuk itu, Pertandingan Nasyid dan Marhaban Dalam Talian Sempena Iftar 2021@Ramadan Online diperkenalkan kepada pencinta nasyid.

Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop berkata, pertandingan ini disasarkan sebagai satu platform bagi mencungkil kumpulan nasyid berkualiti dan berbakat sebagai pelapis kepada kumpulan nasyid dan marhaban komersil sedia ada.

"Selain mengetengahkan kumpulan nasyid dan marhaban yang berbakat ke pentas lebih tinggi, pertandingan ini juga bertujuan untuk mengumpulkan lagu nasyid ciptaan baharu oleh kumpulan yang bertanding.

"Secara tidak langsung ia dapat membantu memb

angunkan potensi yang ada pada industri nasyid dan marhaban di Malaysia.

"Sungguhpun negara masih berdepan situasi pandemik covid-19, program yang dilaksanakan ini sedikit sebanyak dapat membantu masyarakat dalam mempamerkan bakat dan bersama menyemarakkan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi," katanya.

Menurutnya, melalui pertandingan ini juga, secara tidak langsung akan dapat memperdengarkan masyarakat dengan hiburan yang mendidik jiwa.

"Penyampaian mesej yang positif menerusi lagu nasyid dan marhaban diharap dapat membantu membentuk masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

"JKKN sentiasa berusaha menyemarakkan aktiviti seni budaya. Diharap menerusi pertandingan ini akan dapat memberi manfaat kepada penggiat industri nasyid dan marhaban secara tidak langusung mahupun secara langsung dalam kalangan penyanyi, pemuzik dan mereka yang di belakang tabir," katanya.

Keputusan pertandingan diumumkan pada 24 dan 25 April depan melalui Facebook rasmi JKKN.

Johan akan membawa pulang wang tunai RM3,000 beserta sijil penghargaan, naib johan sebanyak RM2,000 beserta sijil penghargaan, manakala tempat ketiga sebanyak RM1,000 beserta sijil penghargaan.

Tiga pemenang sagu hati akan membawa pulang wang tunai RM800 beserta sijil penghargaan.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 16 April depan. Maklumat lanjut sila layari www.jkkn.gov.my atau Facebook JKKN melalui pautan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Tiada ulasan: