Ahad, 11 April 2021

Bayi berbalut tuala hijau di pintu pagar

Georgetown: Bayi lelaki yang masih bertali pusat dan dibalut tuala hijau ditemukan di pintu pagar Persatuan Perkembangan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang, Jelutong di sini, semalam.

Turut dijumpai pada bayi yang dipercayai baru dilahirkan itu ialah sekeping nota bertulis 'Tolong jaga budak ini'.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, bayi malang itu ditemui oleh lelaki berusia 43 tahun ketika melawat rakan lamanya di persatuan berkenaan jam 7.40 malam.

Katanya, semasa membuka pintu utama berhampiran pagar persatuan, lelaki terbabit terlihat sesuatu yang dibaluti dengan tuala hijau dan ditinggalkan di jalan.

"Ketika ditemukan, bayi berkenaan tidak menangis dan dalam keadaan baik sebelum membawa bayi itu masuk ke dalam persatuan bagi dipakaikan lampin dan pakaian.

"Rakan lelaki berkenaan yang ada di persatuan itu juga turut memberi susu formula kepada bayi terbabit," katanya di sini, hari ini.

Soffian berkata, bayi berkenaan kemudian dibawa menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) berikutan mengalami jaundis.

"Kamera litar tertutup (CCTV) di situ tidak berfungsi pada hari kejadian namun terdapat satu lagi CCTV berhampiran kawasan itu yang dipercayai boleh membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat di talian 019-4735105 atau menerusi WhatsApp rasmi Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Timur Laut di talian 0195641822 atau ke balai polis yang berhampiran," katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: