Ahad, 11 April 2021

Budak lelaki maut dalam perjalanan melawat datuk sakit

Kepala Batas: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas terbabit dalam kemalangan bersama ahli keluarganya di Kilometer (KM) 124 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian 7.40 malam itu, mangsa Muhammad Iman Naufal Mohd Firdaus meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa bersama ibu bapanya berusia 33 tahun serta dua kakaknya berusia lima dan tujuh tahun dalam perjalanan ke Perlis untuk melawat ahli keluarga terdekat mereka yang sakit.

"Lima sekeluarga itu menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Livina dari arah Seberang Jaya ke Perlis.

"Ketika tiba di lokasi kejadian (KM124) dikatakan tayar belakang di sebelah kiri kenderaan dinaiki mereka pecah sehingga menyebabkan pemandunya hilang kawalan lalu melanggar bahagian tengah besi penghadang lebuh raya.

"Akibatnya, pemandu dan isterinya yang berada di tempat duduk hadapan cedera ringan, manakala seorang daripada tiga anak mereka yang berada di tempat duduk belakang iaitu Muhammad Iman maut akibat parah di kepala," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk proses bedah siasat.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiada ulasan: