Khamis, 15 April 2021

Bayi 14 hari ditinggalkan di luar pintu hospital swasta

BAYI perempuan berusia 14 hari yang ditinggalkan di atas lantai luar 
pintu sebuah hospital swasta di Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU: Bayi perempuan yang dianggarkan berusia 14 hari dan cukup sifat ditemukan di luar pintu sebuah hospital swasta di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung perkara itu pada pukul 8.45 malam.

Katanya, bayi itu dijumpai seorang kakitangan hospital yang bertugas sebagai penyambut tetamu selepas terdengar bunyi tangisan.

“Lelaki itu yang bertindak menuju ke arah bunyi berkenaan menemui bayi itu sebelum melaporkan perkara tersebut kepada ketua jururawat yang bertugas ketika kejadian.

“Pemeriksaan oleh ketua jururawat mendapati bayi yang diletakkan di atas lantai dan lengkap berpakaian itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri, kecuali satu tangkal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd. Padzli berkata, bayi berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini sebelum ditempatkan di Wad Kanak-Kanak untuk pemantauan lanjut.

“Pemeriksaan dibuat pihak hospital mendapati bayi berkenaan dalam keadaan baik dan dianggarkan berusia 14 hari,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, rakaman kamera liter tertutup mendapati seorang suspek wanita kelihatan mengendong bayi dan berjalan sekitar kawasan hospital, namun, tiada rakaman jelas di mana bayi berkenaan ditinggalkan.

“Sehubungan itu, polis memohon kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS di talian 07-2182323.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: