Rabu, 14 April 2021

Polis Johor mahu heret pegawai rasuah ke mahkamah, enggan serah untuk siasatan tatatertib Bukit Aman

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya akan 
mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit mengikut seksyen 
jenayah terancang. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Memaparkan kesungguhannya membanteras rasuah dalam polis, Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay, enggan menyerahkan senarai nama pegawai yang bersekongkol dengan “Geng Nicky” kepada Bukit Aman, sebaliknya berjanji mengheret mereka ke mahkamah atas tuduhan melakukan jenayah terancang.

Ayob berkata, tidak ada guna beliau mendedahkan senarai nama pegawai dan anggota terbabit untuk diberikan kepada JIPS (Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard) Bukit Aman bagi diambil tindakan tata tertib.

Sebaliknya, beliau mahu memberi tumpuan untuk melengkapkan kertas siasatan dan membawa semua pegawai dan anggota terbabit ke muka pengadilan.

“Saya tidak akan serah pada JIPS untuk ambil tindakan. Saya hendak ambil tindakan bawah jenayah terancang. Bagi saya itu yang paling tepat, mudah, paling tegas untuk kita ambil tindakan,” katanya pada sidang media.

Tindakan Ayob itu dilihat pertama kali pegawai atasan PDRM mengambil keputusan secara terbuka untuk meminggirkan tindakan dalaman jabatan, sebaliknya, mahu pesalah dalam polis terus dikenakan tindakan undang-undang.

Ayob menegaskan tindakan undang-undang akan diutamakan manakala tindakan tata tertib dijadikan pilihan akhir dalam menangani kes pegawai polis yang bersekongkol dengan Geng Nicky.

“Inilah format yang akan digunakan untuk kes Nicky. Keutamaan untuk tindakan tatatertib adalah pilihan terakhir.

“Kami (polis Johor) masih menjalankan dan mengemaskini kertas siasatan, bila sudah lengkap nanti kita akan tangkap,” katanya.

“Tetapi, saya kena pastikan cukup bukti dan bagi masa sedikit (untuk tindakan undang-undang diambil.)”

Ayub berkata soal bila senarai pegawai dan anggota polis yang bersekongkol dengan Geng Nicky tidak harus menjadi persoalan lagi.

“Soalan yang sentiasa ditanya di sini (Johor) dan Bukit Aman, bila senarai itu hendak dikeluarkan.

“Saya tidak akan keluarkan, tidak guna saya keluarkan untuk berkongsi, yang pasti bila siasatan lengkap kita akan tangkap, tunggu dan lihat,” katanya.

Semalam, Pengarah JIPS, Zamri Yahya, dilaporkan menunggu senarai nama pegawai dan anggota polis didakwa bersekongkol dengan Geng Nicky, diketuai ahli perniagaan dalam buruan, Nicky Liow Soon Hee.

Katanya, Bukit Aman memerlukan senarai itu daripada polis Johor sebelum mengambil tindakan susulan termasuk merakam keterangan dan mengambil tindakan jika didapati menyalahi tata kelakuan serta disiplin.

Ayob berkata, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor sudah menangkap dan menuduh di mahkamah seramai 24 pegawai dan anggota pelbagai agensi penguatkuasa dalam Ops Benteng yang dilaksanakan sebelum ini.

Nicky yang masih diburu polis dikatakan terlibat sindiket jenayah terancang, dengan rangkaian antarabangsa

Tiada ulasan: