KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza terus utuh dalam kembara seninya selepas 25 tahun bergelar penyanyi.
Namun, lumrah kehidupan, penyanyi yang baru menghasilkan album kanak-kanak berjudul Legasi itu tidak lepas berdepan dengan kerenah sesetengah pihak yang cuba menjatuhkannya.
Malah, pertelagahan membabitkan sesetengah kelompok peminatnya dan artis lain sesekali mencalar rekod cemerlang yang dilakarnya.
Namun, ibu kepada Siti Aafiyah Khalid itu tidak melatah, sebaliknya akur bukan mudah memuaskan hati semua pihak.
Siti menerusi laman Twitter memberi peringatan kepada peminat termasuk kelab peminatnya, Sitizoners.
"Assalamualaikum, sekali sekala perlu saya ingatkan Sitizoners yang disayangi. Ada juga yang menyamar di sebalik nama ini, jadi rasanya tak perlu membandingkan saya dengan sesiapapun.
"Cara saya bekerja dalam dunia hiburan dan perniagaan sangat berbeza. Malah, saya diuruskan pasukan kerja berbeza," tulisnya.
Mengulas pertanyaan peminat berhubung ciapan yang ditulis, penyanyi lagu Aku Bidadari Syurgamu itu berkata, dia sekadar mengingatkan peminat.
"Ini termasuk mereka yang menyamar sebagai peminat, tetapi berniat sebaliknya," katanya ringkas.
Siti berkata, atas kerja berpasukan menyebabkannya mampu meneruskan survival hingga kini.
"Alhamdulillah, saya bertahan hingga sekarang dengan cara dan strategi yang dilakukan atas kerja berpasukan Siti Nurhaliza Production (SNP).
"Begitu juga perniagaan. Jadi, harap jangan mudah menjatuhkan dan memperlekehkan kerja insan yang bertungkus lumus menjaga reputasi dan kerja saya.
"Keputusan akhir semua di tangan saya dalam setiap kerja yang dibuat. Terima kasih sentiasa memahami.
"Yang baik dari Allah, yang buruk dari kita sendiri," tulisnya lagi.
Malah, juara Bintang HMI 1995 itu turut menjelaskan, media sosialnya diuruskan sendiri.
"Akaun media sosial, Siti Nurhaliza tulis sendiri," tegasnya.
Malam tadi, Siti Nurhaliza yang sarat hamil anak kedua turut hadir memeriahkan majlis resepsi Syamel dan Ernie Zakri di sebuah premis acara di ibu kota.
Malah, pelawaan secara spontan penyampai acara, Radin untuk mendendangkan lagu Aku Cinta Padamu turut memukau hadirin yang hadir. Malah, video yang dikongsi tular kerana ramai mengagumi mampu menyanyi dengan baik walaupun sedang sarat mengandung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan