Sebanyak 10,961 atau 73.9 peratus majikan dikesan gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dalam pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dari 1 Feb hingga 15 April lepas.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berkata JTK telah menjalankan pemeriksaan ke atas 14,835 majikan di seluruh negara sepanjang tempoh berkenaan yang membabitkan 95,870 unit penginapan pekerja.
"Daripada jumlah majikan yang diperiksa, 3,874 iaitu 26.1 peratus majikan memenuhi (kriteria) kemudahan penginapan pekerja, manakala yang lain masih gagal mematuhi akta. Pemeriksaan turut dijalankan terhadap 616,216 pekerja iaitu 572,518 pekerja asing dan 43,698 pekerja tempatan.
"Sebanyak 625 kertas siasatan dibuka daripada keseluruhan pemeriksaan, melibatkan kesalahan penginapan tidak diperakui perakuan penginapan oleh Ketua Pengarah Tenaga Kerja, penginapan tidak mematuhi undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tidak menyediakan ruang rehat serta ruang makan kepada pekerja," katanya selepas Majlis Tautan Kasih bersama Media Kedah di Alor Setar, Kedah, malam tadi.
Awang berkata kemudahan penginapan yang disediakan majikan sepatutnya mempunyai persekitaran selamat dan kondusif untuk setiap pekerja, sama ada warga tempatan atau warga asing berehat serta tinggal di negara ini.
"JTK memberi garis panduan, jadi kita tidak akan bertolak ansur dan akan mendakwa majikan yang gagal mematuhi akta yang ditetapkan. Setakat ini, JTK mengeluarkan 34 arahan pindah pekerja, 2,417 arahan membaiki atau menambah baik unit penginapan dan 7,885 arahan pematuhan.
"Semua majikan diharap dapat mematuhi undang-undang demi menjaga keselamatan dan nyawa pekerja mereka. Ini juga bertepatan dengan situasi semasa iaitu banyak kes positif Covid-19 berlaku dalam kalangan pekerja warga asing berikutan penginapan mereka tiada kemudahan kebersihan dan pengudaraan yang baik serta tidak terurus," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan