Selasa, 20 April 2021

70% majikan mahu kakitangan divaksin, kata tinjauan

twitter sharing button
whatsapp sharing button
email sharing buttonEmployment Hero berkata, majikan Malaysia menunjukkan hasrat mewajibkan vaksin yang tinggi berbanding Australia dan UK (33%) dan New Zealand (35%).

PETALING JAYA: Sehingga 70% perniagaan akan menetapkan vaksinasi Covid-19 sebagai keperluan bagi kakitangan masing-masing, menurut tinjauan oleh sebuah firma sumber manusia.

Dapatan Employment Hero Survey 2021 juga menunjukkan 76% pekerja mahu divaksin dan hanya 7% enggan mengambil vaksin.

Employment Hero dalam kenyataan berkata, majikan Malaysia menunjukkan hasrat mewajibkan vaksin yang tinggi berbanding Australia dan UK (33%) dan New Zealand (35%).

“Tenaga kerja Malaysia menunjukkan penerimaan yang tinggi terhadap vaksin, namun ketidakpastian dalam garis masa pemberian vaksin menyebabkan banyak orang teragak-agak untuk kembali ke pejabat dalam masa terdekat,” katanya.

“Hanya 29% pekerja dan 31% majikan dijangka kembali ke pejabat dalam enam bulan akan datang.”

Tinjauan mendapati, majikan sedang mempertimbangkan model bekerja jarak jauh atau fleksibel secara jangka masa panjang bagi melindungi tenaga kerja masing-masing daripada sekatan dan risiko yang berterusan.

Katanya, memandangkan masa depan pekerjaan masih belum pasti, tahap tekanan dalam kalangan pekerja (61%) dan majikan (58%) bertambah, namun banyak pekerja (47%) tidak selesa membincangkan kesihatan mental mereka dengan pihak atasan.

CEO Ben Thompson berkata, kesan Covid-19 ke atas kesihatan mental dalam tenaga kerja perlu diperhatikan dan ditangani.

Katanya, tempat kerja merupakan persekitan yang penting untuk membincangkan kesihatan mental, namun stigma pada istilah itu serta takut dibuang kerja menyebabkan banyak orang menderita dalam diam.

“Majikan berpeluang untuk mengubah keadaan ini dengan menjadikan kesejahteraan mental suatu keutamaan dalam perniagaan mereka,” katanya.

“Menyediakan sumber yang betul dan kepimpinan yang menolong kakitangan, serta mengambil pendekatan tersuai bagi kesihatan mental adalah langkah pertama yang besar kesannya.”

Tiada ulasan: