Alor Setar: Seramai tujuh pelajar Maktab Mahmud, Baling disahkan positif Covid-19 hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata setakat ini Jabatan Kesihatan Negeri masih menjalankan siasatan punca jangkitan wabak itu.
Katanya, pelajar terbabit terdiri daripada enam pelajar perempuan tingkatan empat manakala seorang lagi pelajar tingkatan satu.
"Pelajar tingkatan empat ini adalah dari kelas yang sama. Mengikut kebiasaan yang dilakukan hanya kelas yang terbabit sahaja yang akan ditutup.
"Sekiranya terdapat kes daripada banyak kelas, barulah sekolah akan ditutup, ia bergantung kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
"Seramai 80 pelajar, 23 guru dan dua penyelia menjadi kontak rapat dengan pelajar positif dan dipakaikan gelang pink. Siasatan mengenai kes ini masih dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri termasuk melaksanakan kerja-kerja isolasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Tautan Kasih Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim bersama pengamal media Kedah di sini, malam ini.
Dr Mohd Hayati, berkata kesemua pelajar yang positif sudah dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Beliau meminta ibu bapa memberi perhatian terhadap kes ini dan menyeru masyarakat di Baling untuk lebih menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dalam perkembangan lain, Dr Mohd Hayati turut menasihatkan pengunjung bazar Ramadan di negeri ini tidak membawa anak kecil ketika membeli juadah berbuka dalam usaha mengekang penularan wabak itu.
"Apabila nak beli juadah berbuka jangan ramai-ramai dalam satu gerai, jika nampak ramai kita pindah ke gerai lain, tak payah berebut.
"Ini kerana kita bimbang terdapat varian baharu yang masuk negara kita dari Afrika Selatan, Brazil dan United Kingdom.Varian ini lebih ganas dan walaupun ia dikesan di Lembah Klang tapi kita perlu berhati-hati," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan