Selasa, 6 April 2021

6 ahli Geng Cupeng dicekup polis

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Hussin Zamora berkata kes disiasat 
mengikut Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan 
Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63. 
(Gambar PDRM Johor)

KOTA TINGGI: Enam lelaki warga Indonesia ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu serbuan di sebuah rumah kongsi, di Padang Pasir Logok, Jalan Tenggaroh Selatan, di sini, semalam.

Harian Metro melaporkan, dalam serbuan jam 1.30 pagi itu, dua tekong dan empat migran berusia 27 hingga 55 tahun berjaya ditahan, kata Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Hussin Zamora.

Katanya, ketika serbuan, empat PATI itu bersembunyi di dalam rumah penampungan dipercayai digunakan untuk tujuan transit.

“Serbuan dijalankan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, selain tangkapan itu terbabit dalam penyeludupan PATI yang membawa masuk dan keluar warga Indonesia ke Malaysia.

"Turut dirampas, lima telefon bimbit pelbagai jenama, wang tunai RM3,000 dan matawang Indonesia IDR 2,000,350 (RM570.90).

“Individu yang ditahan ini daripada ahli sindiket Geng Cupeng yang terbabit dengan penyeludupan migran di kawasan Bandar Penawar dan Kuala Sedili,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tekong yang ditahan direman 28 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) sehingga 3 Mei depan, manakala pendatang asing tanpa izin (Pati) direman 14 hari sehingga 19 April ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Tiada ulasan: