Khamis, 8 April 2021

28 tahun terabai, kerajaan bangun semula tapak Highland Towers

Staff Writers

Kawasan tapak terbiar Highland Towers kini mengundang rasa tidak senang penduduk sekitar.

Kerja-kerja bagi mengindah dan membangunkan semula kawasan tapak terbiar pangsapuri Highland Towers akan dimulakan segera selepas ia melahirkan rasa kurang senang kepada penduduk setempat setelah 28 tahun diabaikan.

Kementerian perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT) berkata permohonan peruntukan RM8.9 juta untuk pengambilan tanah seluas hampir dua ekar di kawasan itu daripada kerajaan negeri telah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

“Kerja-kerja perobohan bangunan sedia ada dan pembersihan kawasan tersebut hanya boleh dilakukan selepas pembayaran pampasan tanah diselesaikan.

“Selepas kerja-kerja perobohan selesai, kawasan tersebut perlu dibersihkan serta diperindahkan. Projek-projek pembangunan yang bersesuaian akan dilaksanakan di atas kawasan tapak Highlands Towers ini bagi mengoptimumkan penggunaan tanah sedia ada secara lebih efektif,” kata KPKT dalam kenyataan hari ini.

Awal hari ini, Menteri KPKT Zuraida Kamaruddin bersama Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya turut meninjau tapak terbiar yang sering melahirkan rasa kurang senang penduduk di sekitarnya.

“Kawasan tapak Highland Towers yang telah lama terbiar ini kini menjadi sarang penagih dadah.

“Dan (tapak itu) mengundang rasa kurang senang dan tidak selesa dalam kalangan penduduk setempat kerana wujudnya masalah sosial yang berlaku di kawasan tersebut.

“Highlands Towers yang telah lama ditinggalkan ini perlu dirobohkan dan dibersihkan bagi memberi laluan projek-projek pembangunan yang bersesuaian untuk manfaat khususnya bagi penduduk di kawasan sekitar,” tambah kenyataan tersebut.

Tragedi Highland Towers yang runtuh pada 11 Disember 1993 telah meragut 48 nyawa. Satu daripada tiga blok runtuh manakala baki dua blok lagi telah dikosongkan atas faktor keselamatan.

Highland Towers merupakan tiga blok pangsapuri 12 tingkat yang dinamakan Blok 1, Blok 2 dan Blok 3. Setakat tahun 2019, dua bangunan ini dilaporkan masih dalam proses perobohan.

Selain terkenal dengan pelbagai teori mengenai punca tanah runtuh di kawasan itu, tragedi Highland Tower juga turut terkenal dalam budaya popular negara kerana sering dikaitkan dengan cerita-cerita seram sehingga produksi filem tempatan mengambil kawasan itu sebagai lokasi penggambaran.

Dalam pada itu, KPKT turut berharap pembangunan semula tapak Highland Towers ini dan kerja-kerja pengindahan yang akan dilaksanakan memberi nafas baru dan mewujudkan persekitaran yang selesa kepada penduduk tempatan.

“Suasana yang lebih ceria itu seterusnya akan dapat menjamin keselamatan dan kesejahteraan penduduk di sekitar kawasan Highland Towers,” kata kenyataan itu.

Tiada ulasan: