Ahad, 4 April 2021

Pemandu dipercayai terlelap, 14 cedera bas ekspres terbalik

SEBUAH bas ekspres yang terbabas sebelum terbalik di Kilometer (KM) 265.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Terowong Menora, di sini, awal pagi hari ini foto JBPM

KEMALANGAN membabitkan sebuah bas ekspres yang terbabas sebelum terbalik di Kilometer (KM) 265.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Terowong Menora, di sini, awal pagi hari ini dipercayai berpunca daripada pemandu bas yang terlelap seketika.

Dalam nahas kira-kira pukul 2 pagi itu, sebanyak 13 daripada 14 orang penumpang cedera termasuk dua daripadanya parah.

 

Bas itu dinaiki 11 penumpang lelaki dan 3 perempuan.

Memetik Harian Metro, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, 11 penumpang lain hanya cedera ringan manakala seorang lagi tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya, dua mangsa yang parah adalah seorang lelaki warga Indonesia berusia 40 tahun yang parah di kepala dan seorang wanita tempatan berusia 33 tahun yang parah di pinggang.

Beliau berkata, pemandu bas berusia 39 tahun yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu turut mengalami cedera ringan di kaki.

SEORANG penumpang dibawa ke ambulans untuk diberikan 
rawatan selanjutnya. Foto JBPM

Katanya, tangkapan dibuat ke atas pemandu terbabit selepas pemeriksaan mendapati lelaki itu mempunyai 19 rekod saman lampau individu bagi kesalahan trafik selain tiga rekod saman lampau bagi bas yang dipandunya itu.

“Siasatan mendapati bas yang dipandu dari Kulim menuju ke Kuala Lumpur itu hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan dan terbalik di sebelah kiri parit (longkang) jalan disebabkan pemandunya disyaki terlelap seketika semasa memandu.

“Kesemua mangsa berusia antara 14 hingga 59 tahun itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan sedang menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Nordin berkata, kejadian berlaku di kawasan selekoh sewaktu bas berkenaan sedang menuruni kawasan berbukit tidak jauh selepas keluar dari Terowong Menora.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, memetik Astro Awani,  jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 2.22 pagi.

“Kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres yang menghala dari Kulim ke Kuala Lumpur telah terbabas ke bahu jalan, tanpa melibatkan kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut jurucakap itu, anggota bomba berjaya mengeluarkan kesemua mangsa yang cedera dan memberi rawatan awal kepada mereka sebelum diserahkan kepada pihak ambulan untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Shahrudi Muhamad Halil tamat pada 4.39 pagi.

Tiada ulasan: