Isnin, 8 Mac 2021

Ular sawa ‘bergulung’ di bahu kanak-kanak

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
ANGGOTA APM berjaya menangkap ular sawa seberat enam kilogram 
yang melingkar di bahu seorang kanak-kanak di Kampung Gangsa, Durian 
Tunggal, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

ALOR GAJAH: Suri rumah berdepan detik cemas selepas mendapati seekor ular sawa seberat enam kilogram melingkar di bahu anak perempuannya yang sedang tidur di atas katil di Kampung Gangsa, Durian Tunggal di sini, semalam. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nurul Fatehah Amran, 24, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam ketika dia ingin menukar baju anak perempuannya yang berusia dua tahun.

“Anak saya tidur kira-kira pukul 7.15 malam dan pada pukul 9 malam saya masuk ke dalam bilik kerana ingin menukar baju dipakainya, tiba-tiba, saya ternampak ada satu benda berkilat bercorak batik di bahunya. 

“Ketika ingin mengangkat anak, benda tu tiba-tiba bergerak. Dalam keadaan menggigil, saya terus angkat anak saya dan berlari keluar memanggil suami dan abang memberitahu ada ular di atas katil,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya lagi, dia yang bimbang dengan keadaan anaknya terus memeriksa tubuh badan kanak-kanak itu dan meluahkan rasa syukur selepas tidak menjumpai sebarang kecederaan. 

“Alhamdulillah, anak saya tidak mengalami sebarang kecederaan. Abang saya kemudian telah menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi menangkap ular tersebut yang mungkin datang dari kawasan semak tidak jauh dari rumah kami,” jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 9.40 malam. 

“Sepasukan empat anggota telah dikejarkan lokasi untuk operasi kes menangkap ular (KMU) dan setiba di tempat kejadian, kita dapati ular sawa tersebut masih berada di bawah bantal. 

“Pasukan mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 minit untuk menangkap ular seberat enam kilogram dengan panjang satu meter itu sebelum dilepaskan ke habitat asal jauh dari kawasan perumahan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: