Isnin, 8 Mac 2021

Jiran kes tembak isteri ‘tak sanggup subahat’

Oleh MUHAMMAD AIMY AHMAD
TONG air berwarna biru yang diangkat seorang lelaki ketika diminta membantu jirannya untuk dimuatkan ke dalam kereta di Taman Saujana, Kota Tinggi, Johor. -UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU: Pendedahan jiran kepada suspek yang menembak mati isterinya dengan senapang angin ketika sedang tidur dalam kejadian Isnin lalu membawa kepada pembongkaran kejadian sebenar.

Malah, lelaki berusia 32 tahun itu yang kini turut direman bagi membantu siasatan mendakwa dia tidak mengetahui isi kandungan dalam tong air yang digunakan suspek untuk menanam mayat isterinya di sebuah ladang kira-kira 30 kilometer dari kawasan perumahan mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Datuk Md. Yusof Ahmad berkata, pada waktu kejadian, suspek meminta tolong jirannya yang tinggal berdekatan rumah untuk mengangkat tong air berwarna biru ke dalam kenderaan pacuan empat roda.

“Katanya dia bantu sebab tidak tahu apa yang ada dalam tong itu, jiran hanya minta tolong dan dia tolong sahajalah.

“Bagaimanapun, kita sedang melakukan siasatan terperinci berhubung pembabitan lelaki berkenaan dan kini dia ditahan bersama suspek untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Akhbar kelmarin melaporkan, seorang suami tekad menembak mati isterinya dari jarak dekat menggunakan senapang angin ketika mangsa sedang tidur di rumah mereka di Taman Saujana, Isnin lalu.

Setelah membunuh mangsa, suspek berusia 43 tahun itu menyumbat isterinya di dalam tong plastik sebelum menanam mayat wanita berkenaan di sebuah ladang di Bandar Penawar kira-kira pukul 4.30 pagi hari yang sama.

Suspek yang bekerja sebagai pemandu jengkaut itu kemudian membuat laporan polis kononnya wanita itu hilang sebelum mayat ibu dua anak yang berasal dari Terengganu itu ditemukan tertanam di ladang terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 serta Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: