Rabu, 17 Mac 2021

Rumah tradisional Negeri Sembilan usang, terbiar

Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA
ANTARA rumah tradisional yang terbiar di Kampung Tengah Ulu, Seri Menanti, Kuala Pilah. – UTUSAN/ BADRUL HAFIZAN MAT ISA

SEREMBAN: Negeri Sembilan bakal hilang simbol keunikan Adat Perpatih jika beratus-ratus rumah tradisional yang tidak lagi berpenghuni terus dibiarkan usang tanpa diambil sebarang tindakan sewajarnya terutama dalam kalangan pewaris.

Rumah tersebut mempunyai reka bentuk dan ukiran seni bina yang unik namun kini dalam keadaan menyedihkan malah ada menunggu masa untuk menyembah bumi.

Menerusi satu kajian pasukan penyelidik Politeknik Port Dickson, perkara sama turut melibatkan masjid lama.

Penasihat Pusat Teknologi Seni Bina, Politeknik Port Dickson, Dr. Isham Shah Hassan berkata, kebanyakan rumah yang terbiar itu terletak di Kuala Pilah, Rembau dan Jelebu.

“Kuala Pilah dan Rembau sangat kaya dengan bangunan dan rumah tradisional sebegini dan kebanyakannya usang dan tidak berpenghuni.

“Pelajar-pelajar Politeknik Port Dickson pada setiap semester akan membuat kajian, mengumpul data seluruh rumah-rumah tradisional, bangunan warisan dan masjid-masjid lama. Ketika ini kami mengumpul data kira-kira 250 buah rumah, bangunan dan masjid tersebut dan hampir 40 peratus daripadanya terbiar,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau yang mengetuai kajian tersebut berkata, antara faktor menyebabkan rumah tersebut terbiar adalah disebabkan Adat Perpatih yang mewariskan rumah kepada golongan wanita dan tanah adat
serta faktor kurangnya minat pewaris memuliharanya.

“Apa yang menyedihkan ada dalam kalangan pewaris tidak tahu nilai tinggi rumah yang diwarisi. Mereka menjual kepada tukang-tukang kayu dan kayu-kayu berkenaan digunakan pula untuk membuat kandang ayam dan kuda,” katanya. UTUSAN

Tiada ulasan: