KANGAR: Jabatan Pertanian negeri menjangka pengeluaran mempelam harumanis sebanyak 3,000 tan metrik musim ini dengan nilai RM75 juta iaitu lebih tinggi berbanding kira-kira 2,200 tan metrik pada tahun lalu.
Pengarah Pertanian negeri, Hafizuddin Othman berkata, sasaran awal tersebut dibuat berdasarkan jumlah pokok matang yang mampu mengeluarkan hasil lebih banyak melibatkan keluasan kawasan 1,338 hektar berbanding 1,160 hektar pada musim sebelumnya.
Menurut beliau, pengeluaran tersebut bergantung kepada cuaca dan prestasi pokok semasa kerana berkemungkinan pengeluaran bunga untuk peringkat ketiga akan berlaku lagi.
“Ada yang meramalkan jumlah hasil akan berkurangan tahun ini. Bagaimanapun, kami masih tidak dapat memberikan ramalan akhir sama ada akan ada lagi buah yang akan terhasil kerana bunga harumanis kali ketiga ini dijangka akan turun hingga akhir bulan ini.
“Jika pengurusan ladang baik dan cuaca elok iaitu tidak terlalu banyak taburan hujan, maka kita mungkin boleh mendapat sehingga 3,000 tan metrik atau lebih. Namun, jika sebaliknya, jumlah tersebut mungkin berkurangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Beliau berkata, jumlah keluasan tanaman harumanis termasuk pokok yang belum matang semakin bertambah pada tahun ini iaitu sebanyak 1,500 hektar.
Jelasnya, selain faktor taburan hujan yang tinggi pada hujung tahun lalu, pengusaha harumanis juga berdepan dengan masalah serangan kutu trips dan lelompat daun yang boleh menjejaskan pengeluaran.
“Masalah lelompat daun agak luar biasa pada tahun ini berbanding
musim lepas. Oleh itu, kami sentiasa mengingatkan pengusaha harumanis
untuk membuat kawalan dan mengambil tindakan segera,” ujarnya.- UTUSAN
ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan