Ahad, 21 Mac 2021

Reman wanita Vietnam: Polis nafi salah guna kuasa

BH ONLINE

SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyangkal tuduhan menyalah guna kuasa bagi menahan reman 14 hari seorang wanita warganegara Vietnam sebagaimana didakwa seorang peguam melalui satu laporan sebuah portal berita semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh dalam satu kenyataan berkata pada 13 Mac lalu polis menjalankan pemeriksaan di sebuah restoran di Klang dan menahan seorang lelaki Cina yang juga pemilik premis kerana disyaki menggajikan empat lelaki warganegara Myanmar dan enam wanita warganegara Vietnam tanpa permit sah.

"Seterusnya semakan mendapati enam wanita warganegara Vietnam itu gagal mematuhi Peraturan-peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Jangkitan) 1988.

"Pihak polis menyangkal sekeras-kerasnya menyalah guna kuasa tahanan reman orang kena tuduh selama 14 hari itu, sebaliknya pihak polis menunggu laporan semakan ketulenan dokumen perjalanan daripada Jabatan Imigresen Putrajaya," katanya.

Beliau berkata kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya secepat mungkin selepas laporan itu diperolehi, dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959, Seksyen 39 (b) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. – BERNAMA

Tiada ulasan: