Ahad, 21 Mac 2021

Polis tahan lelaki disyaki menyamar polis, cubaan samun

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ditahan kerana disyaki menyamar sebagai polis dan cubaan samun, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata penganggur berusia 26 tahun itu ditangkap di sebuah medan selera di Taman Lembah Maju, dekat sini, jam 11.35 malam.

Terdahulu, beliau berkata, polis menerima maklumat daripada seorang lelaki berusia 25 tahun yang juga pemegang kad UNHCR, mendakwa ditahan suspek menunggang motosikal jenis Kriss kira-kira jam 8.10 malam hari kejadian.

"Suspek didakwa mengaku sebagai polis dan meminta pengadu memberikan kad UNHCR.

"Suspek juga dikatakan mahu memeriksa beg pengadu, namun pekerja pusat cuci kereta itu berasa curiga lalu melarikan diri ke arah polis di kawasan berdekatan," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Susulan itu, suspek direman hingga 2 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 170 dan Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: