Mohd Nor Afendi Abd Wahab, 30, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Madihah Hairullah.
Tertuduh didakwa menerima rasuah RM1,500 daripada Fadlie Idhameffendy Rahmat secara pindahan mesin deposit tunai di sebuah bank di sini.
Bayaran itu sebagai dorongan untuk melancarkan proses berkaitan kebenaran untuk pihak syarikat Primudi Sdn Bhd memulakan kerja di tapak projek membina dan menyiapkan bangunan Fakulti Pengajian Bahasa Utama di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di alamat 1A, Wisma Dewan Perniagaan Melayu Negeri Sembilan, Jalan Dato Bandar Tunggal, di sini, pada jam lebih kurang 10 malam, 13 Jun 2018.
Mohd Nor Afendi didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Prosiding kes dijalankan Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Zainab Yahaya, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh memohon wang jaminan yang rendah kerana perlu menanggung seorang isteri yang dalam rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) serta seorang anak.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan diminta melaporkan diri kepada SPRM minggu pertama setiap bulan dan menetapkan 21 April depan untuk sebutan semula kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan