Bernama
Pandemik COVID-19 telah menghentikan segala bentuk perniagaan pelancongan
termasuk haji dan umrah. - Foto fail
SHAH ALAM:
Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) memohon
agar bakal jemaah terkesan yang telah menempah pakej bagi menunaikan
ibadah itu agar berbincang semula dengan agensi pelancongan
masing-masing.
Presiden PAPUH Malaysia
Datuk Seri Razali Mohd Sham menyarankan agar bakal jemaah terbabit
membenarkan agensi pelancongan menjadualkan semula tarikh berlepas
setelah pintu sempadan negara dibuka.
"PAPUH
berharap ini akan dapat membantu ahli kami dalam situasi menang-menang.
Sekiranya pintu sempadan dibuka dalam masa terdekat, ini sudah tentu
dapat menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi oleh agensi pelancongan
masa kini," menurutnya dalam kenyataan.
Beliau
berkata sebelum Malaysia dilanda pandemik COVID-19 dan pelaksanaan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lepas, ahli PAPUH tidak
mempunyai sebarang masalah untuk memasarkan pakej umrah mereka.
"Sebagai
agensi pelancongan, sudah tentu setiap pakej yang dibeli akan dikenakan
bayaran pendahuluan. Bayaran pendahuluan yang diterima dari jemaah ini,
pada lazimnya digunakan untuk pembayaran tempahan tiket penerbangan dan
tempat penginapan di Mekah dan Madinah," katanya.
Razali
berkata pandemik COVID-19 telah menghentikan segala bentuk perniagaan
pelancongan termasuk haji dan umrah dan ini sudah tentu melibatkan ahli
PAPUH dan bakal jemaah yang telah menempah pakej umrah dari Mac hingga
Jun 2020.
"Sebagai agensi pelancongan,
sudah tentu tidak dapat membuat apa-apa setelah perniagaan mereka
terhenti akibat pandemik COVID-19, bayaran penuh dan deposit telah pun
dibuat kepada syarikat penerbangan, tempat penginapan serta bayaran
visa.
"Rata-rata ahli menggunakan tempat
penginapan bertaraf tiga bintang di Mekah dan Madinah yang mana pada
masa sekarang, tempat penginapan ini tidak boleh beroperasi dan ada di
antaranya sudah menutup operasi mereka," katanya.
Beliau
berkata ada antara pengusaha tempat penginapan di Mekah dan Madinah
serta syarikat penerbangan yang tidak memulangkan bayaran sebaliknya
meminta agensi pelancongan menggunakannya untuk tempahan akan datang
apabila situasi COVID-19 reda.
Oleh itu, PAPUH memohon mana-mana kementerian atau agensi kerajaan tampil membantu ahlinya menyelesaikan masalah tersebut.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan