Khamis, 4 Mac 2021

Malaysia, Interpol kerjasama banteras penjualan vaksin dalam talian, kata Noor Hisham

Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan orang ramai hanya mendapatkan vaksin 
Covid-19 daripada KKM dan sumber boleh dipercayai.

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihak berkuasa Malaysia sedang bekerjasama dengan Interpol untuk membanteras penipuan membabitkan penjualan vaksin Covid-19 dalam talian.

Beliau menegaskan vaksin Covid-19 tidak dijual di Malaysia, oleh itu sebarang iklan penjualannya dalam talian adalah palsu.

“Kementerian Kesihatan (KKM) maklum satu iklan penjualan vaksin Pfizer atas talian, namun bahagian farmasi mendapati iklan tersebut adalah palsu.

“Kita dimaklumkan banyak vaksin tiruan ada di pasaran, jadi kita menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan vaksin dari KKM dan sumber-sumber boleh dipercayai,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata, vaksin Covid-19 hanya boleh dibekalkan kerajaan.

Katanya, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memberikan pendaftaran bersyarat untuk vaksin Covid-19, iaitu ia hanya boleh dibekalkan kerajaan atau pihak yang dikenal pasti kerajaan, termasuk hospital swasta.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Zainuddin Yaacob dilaporkan berkata, polis sedang menyiasat penipuan membabitkan penjualan vaksin Covid-19 dalam talian, selepas dua laporan diterima daripada mangsa yang mengalami kerugian berjumlah RM285,499.

Penilaian sampel air liur

Hisham berkata, tujuh hospital kerajaan dikenal pasti akan menjalankan penilaian lapangan bagi penggunaan kaedah pengambilan sampel air liur (deep throat saliva) bagi ujian saringan Covid-19.

Katanya, KKM masih menggunakan kaedah persampelan melalui hidung dan mulut.

Beliau berkata, persampelan air liur itu akan digunakan untuk kedua-dua ujian RT-PCR dan RTK-Ag bagi mengesan jangkitan.

“Kita harap dapat laporan lengkap sebelum kita mengetengahkan kaedah persampelan ‘deep throat saliva’ atau menggunakan air liur untuk menjalankan saringan RTK-Ag atau RT-PCR.”

Mengulas pembabitan hospital swasta dalam program vaksinasi, Katanya, ia akan bermula fasa kedua.

“Sekarang pun kita telah menggunakan hospital swasta untuk program vaksinasi,” katanya sambil memaklumkan bekalan vaksin yang ada ketika ini terhad dan ia perlu diutamakan kepada petugas kesihatan dan barisan hadapan terlebih dahulu.

Tiada ulasan: