NILAI: Garis panduan dan hukum pengambilan suntikan vaksin Covid-19 ketika Ramadan dijangka dikeluarkan pada hujung bulan ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Beliau berkata, panduan itu bagi memberi pemahaman kepada umat Islam mengenai hukum pengambilan vaksin ketika sedang berpuasa berikutan orang awam dijangka menerima suntikan vaksin Covid-19 April ini, iaitu ketika permulaan Ramadan.
“Panduan vaksin ketika Ramadan, kita sudah melihat fatwa-fatwa, ia tidak menjadi kesalahan dari segi suntikan tersebut, bagaimanapun, secara rasminya garis panduan kita akan keluarkan sebelum Ramadan,” katanya.
Zulkifli berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Yadim Peduli: Musaadah dan Sanitasi Masjid.
Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) membabitkan kumpulan warga emas berusia 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya (OKU) melibatkan 9.4 juta orang dijangka bermula April hingga Ogos.
Pada masa ini, fasa pertama PICK sedang berlangsung di seluruh negara melibatkan pemberian vaksin kepada 500,000 barisan hadapan, sejak ia dilancarkan 24 Feb lepas dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di Malaysia yang menerima suntikan berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan