Sabtu, 20 Mac 2021

Lelaki terima padah siar filem di Telegram

KPDNHEP menasihati orang ramai agar tidak berkongsi atau mengedarkan 
mana-mana karya hak cipta termasuk filem, lagu, buku berbentuk digital dan 
sebagainya menerusi internet atau media sosial tanpa kebenaran pemilik hak cipta.

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya menahan seorang lelaki kerana disyaki menyebabkan karya filem dipertunjukkan di hadapan awam tanpa kebenaran pemilik hak cipta di media sosial Telegram.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, suspek berusia 45 tahun itu ditahan dalam serbuan di rumahnya di Seremban, Negeri Sembilan yang turut disertai wakil pemilik hak cipta selepas risikan selama kira-kira dua minggu.

“Dalam serbuan itu, KPDNHEP turut merampas beberapa barang milik suspek berupa barangan peralatan komunikasi dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM5,000.

“Lelaki itu disyaki melakukan kesalahan bawah Seksyen 41 (3) Akta Hak Cipta 1987 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun,” katanya dalam kenyataan.

Azman turut menasihati orang ramai agar tidak berkongsi atau mengedarkan mana-mana karya hak cipta termasuk filem, lagu, buku berbentuk digital dan sebagainya menerusi internet atau media sosial tanpa kebenaran pemilik hak cipta.

“Pihak kementerian memandang serius perlakuan ini walaupun ia hanya dibuat sekadar untuk tujuan keseronokan.

“Pengguna juga disarankan agar menyalurkan maklumat kepada kementerian ini dengan melaporkan sebarang kegiatan cetak rompak melalui talian utama 1 800 886 800 atau 03 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau WhatsApp di talian 019 279 4317 atau di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil dengan lebih efektif,” katanya.

Tiada ulasan: