Sabtu, 20 Mac 2021

KKM: 389,177 individu sudah terima vaksin Covid-19

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata, program vaksinasi 
negara berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran 500,000 petugas barisan 
hadapan menerima suntikan sehingga April depan.

JELI: Seramai 389,177 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sudah menerima dos pertama vaksin setakat semalam.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata, jumlah tersebut menunjukkan program tersebut berada dalam landasan tepat untuk mencapai sasaran 500,000 individu dalam kumpulan petugas barisan hadapan yang akan menerima suntikan sehingga April depan.

Dalam pada itu lebih 5.9 juta orang telah mendaftar untuk menerima vaksin setakat semalam, katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan projek siap Pejabat Kesihatan Daerah Jeli, hari ini.

Projek Pejabat Kesihatan Daerah Jeli yang bermula sejak 2018 disiapkan hujung tahun lalu dengan kos RM14.9 juta dan bakal memberi manfaat kepada 50,000 penduduk di daerah itu.

Mengulas mengenai program vaksinasi di Kelantan, Noor Azmi berkata, seramai 19,630 telah menerima vaksin daripada 21,645 sasaran program vaksin fasa pertama sehingga akhir April ini.

“Di Kelantan program vaksinasi fasa pertama sudah mencapai lebih 88%, ini sangat bagus, namun begitu 151 orang tidak hadir semasa proses vaksinasi. Kita akan dapatkan maklumat mengapa mereka tidak hadir.

“Selain itu, 183 orang pula enggan menerima suntikan vaksin, perkara ini juga akan kita dapatkan maklumat alasan mereka tidak mahu terima suntikan tersebut,” katanya.

Tiada ulasan: