Khamis, 11 Mac 2021

Lelaki miang rakam video bawah skirt wanita didenda RM7,000

rakam skirt
PERBUATAN merakam video di bawah skirt wanita merupakan perbuatan tidak bermoral. - GAMBAR HIASAN

GARA-gara mempunyai minat yang luar dari kebiasaan, seorang lelaki penghantar makanan didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Kajang hari ini kerana melakukan rakaman video di bawah skirt seorang wanita di dalam lif, bulan lalu.

Shahidan Mohammad, 46, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada enam anak itu didapati mengganggu kesantunan seorang wanita berusia 38 tahun dengan merakam video menggunakan telefon bimbitnya yang diletakkan di bawah skirt mangsa.

Kesalahan dilakukan di lif sebuah pangsapuri di Bandar Damai Perdana, pada jam 9 malam, 20 Februari lalu.

Atas kesalahan itu, dia didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Memetik laporan Sinar Harian Online, terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairul Iqram Hairuddin mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepadanya dan orang ramai.

“Perbuatan itu jelas menunjukkan tertuduh tidak menghormati serta mengganggu kesantunan wanita, maka kami harap mahkamah dapat memberi hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam perlu melebihi kepentingan peribadi,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, S Priyalatha merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan atas alasan perlu menyara isteri dan anak-anak berusia 17 hingga lima tahun.

“Anak guam saya memohon maaf kepada semua pihak terutama mangsa dan memohon budi bicara mahkamah agar memberi hukuman denda yang minimum,” katanya.

Mengikut fakta kes, ketika mangsa berada di dalam lif bersama lelaki yang tidak dikenali, merupakan penghuni pangsapuri berkenaan, mangsa berasa lelaki itu mencubit pahanya.

Curiga dengan kejadian yang menimpa, mangsa meminta pihak pengurusan menunjukkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV).

Tiada ulasan: