SAAT habis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memang detik yang ditunggu-tunggu bagi semua pelajar tingkatan 5 walaupun perjalanan mereka di dunia masih jauh.
Namun cara segelintir remaja era milenium meraikan detik tersebut tahun ini menimbulkan kegusaran ramai.
Ini termasuk tindakan dua calon SPM memakai baju sekolah dengan tulisan mencarut ditujukan kepada guru yang menjadi tular di media sosial baru-baru ini.
Namun, mereka akhirnya mendapat pengajaran berguna di dunia apabila dua remaja berkenaan didakwa di Mahkamah Majistret, Kota Bharu hari ini atas pertuduhan menghina.
Kedua-dua tertuduh yang berusia 17 tahun itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua pelajar berkenaan didapati memakai baju yang mempunyai tulisan bermaksud menghina atau lucah sehingga mengganggu keamanan setempat kerana dipakai di tempat awam.
Memetik laporan Harian Metro, kesalahan itu didakwa dilakukan di bulatan Chempaka, Kota Bharu jam 4 petang 3 Mac lalu.
Dua remaja itu didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100 mengikut akta yang sama.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, S Gayathri, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Malaysia, Nik Nazriani Nik Abd Rahman.
Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diberi jamin RM100 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jun bagi sebutan semula kes dan laporan akhlak.
Terdahulu, tular di media sosial menyaksikan dua individu yang menunggang dan membonceng motosikal dengan memakai baju sekolah dengan tulisan menghina guru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan