Jumaat, 5 Mac 2021

Kes seludup burung murai M'sia meningkat

MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

Peningkatan dalam kes-kes penyeludupan burung murai di Malaysia tahun lepas menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan ancaman kepupusan Burung Murai Kampung Copsychus saularis, spesis yang mudah ditemukan di Malaysia dan negara serantau.

Menerusi satu laporan yang diterbitkan bersama The Wildlife Trade Monitoring Network (TRAFFIC) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hari ini, terdapat lonjakan paling ketara berlaku pada tahun 2020, yang menyaksikan 17,736 atau 66 peratus dari jumlah keseluruhan 26,950 ekor burung berjaya dirampas semasa cuba diseludup sepanjang tempoh 2015 hingga 2020.

Berdasarkan laporan itu, pemantauan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan juga menunjukkan terdapat situasi tidak sihat apabila wujud permintaan burung Murai Kampung di dalam negara dan juga luar negara bagi pasaran antarabangsa yang jauh lebih besar, khususnya Indonesia yang mampu mendorong kepada pemburuan yang tinggi dalam negara, yang boleh mengakibatkan kepupusan.

“Dengan menggunakan harga permintaan minimum RM7 dan maksimum RM450 - berdasarkan kajian perdagangan dalam talian oleh TRAFFIC pada tahun 2019 dan 2020, dan memandangkan burung-burung yang dirampas ini disyaki berasal dari Malaysia, anggaran nilai kesemua burung yang dirampas dianggarkan berjumlah sekitar RM188,640 – RM12,127,500.

“Sebanyak 17,314 (64 peratus) daripada kesemua burung yang dirampas (bagi tempoh 2015-2020) melibatkan kes penyeludupan dari Malaysia ke Indonesia dan ia menunjukkan populasi burung Murai Kampung di Malaysia semakin banyak disasar untuk memenuhi permintaan di negara-negara jiran, khususnya Indonesia,” kata laporan itu.

Daripada 44 kes rampasan, 20 berlaku di Indonesia, 23 di Malaysia (melibatkan 17,997 burung) dan satu di Singapura, dengan semua 23 rampasan Malaysia melibatkan kes di negeri Johor, Melaka, Sarawak dan Sabah.

Justeru itu, Pengarah TRAFFIC Asia Tenggara Kanitha Krishnasamy, dalam laporan itu turut mencadangkan agar kerjasama erat di antara Malaysia dan Indonesia perlu diutamakan dalam usaha menyiasat dan mematahkan rangkaian penyeludupan yang mendorong perdagangan haram burung selain mencadangkan penambahbaikan undang-undang bagi memastikan Murai Kampung mendapat perlindungan yang setara di seluruh negara.

Ketika ini, burung Murai Kampung hanya disenaraikan sebagai spesis terlindung di dalam Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997, dan bukan di bawah perundangan hidupan liar di Semenanjung Malaysia atau Sarawak.

Katanya gejala penyeludupan dan pemerdagangan burung Murai boleh dicegah jika sistem pengawalseliaan yang lebih kukuh dapat diwujudkan.- Bernama

Tiada ulasan: