KOTA BHARU: Kerajaan menjangkakan kadar pengangguran pulih menjelang pertengahan tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.
Beliau berkata kadar pengangguran pada Januari 2021 ialah 4.9% iaitu lebih rendah berbanding 5.3% yang dicatatkan pada Mei 2020.
“Pada Mei 2020 peratusan kadar pengangguran ialah 5.3% tertinggi dalam tempoh pandemik Covid-19, namun pada awal tahun ini (kadar pengangguran) berada hanya 4.3%.
“Diharap keadaan akan semakin pulih, kita jangka menjelang pertengahan tahun ini keadaan akan semakin stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Malaysia Prihatin Sesi Bersama Pegawai Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan di, Kompleks Kota Darulnaim, pada Ahad.
Program anjuran Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama kerajaan Kelantan itu merupakan inisiatif untuk memberi penerangan kepada rakyat secara berperingkat mengenai pentingnya pengurusan pandemik Covid-19 ke arah proses pemulihan ekonomi negara.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob.
Sementara itu, Takiyuddin berkata menteri dan timbalan menteri dari negeri itu telah menubuhkan Majlis Bersama Pembangunan Negeri Kelantan bertujuan menyelaras pembangunan di negeri ini.
“Majlis Bersama Pembangunan Negeri Kelantan ini disertai menteri, timbalan menteri dari negeri ini bersama-sama Menteri Besar (Ahmad Yakob) dan exco-exco negeri bertujuan mengadakan rundingan untuk selaraskan pembangunan di seluruh negeri.
“Pengerusi di peringkat persekutuan dan pengerusi negeri juga telah dilantik melalui penubuhan sekretariat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan