Sabtu, 20 Mac 2021

Jambatan gantung dalam pembinaan runtuh

JELI: Lebih 10 pengunjung yang sedang merakam gambar di jambatan gantung di Lata Keding di sini, terjatuh ke dalam anak sungai apabila jambatan dalam pembinaan itu tiba-tiba runtuh.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi, jambatan sepanjang 40 meter itu dipercayai runtuh akibat gagal menampung kapasiti pengunjung yang berlebihan.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu dan bergegas ke lokasi peranginan yang dimiliki pihak persendirian itu.

"Mengikut maklumat yang diterima, kira-kira 10 pengunjung sedang berada di atas jambatan gantung setinggi 4.5 meter.

"Tiba-tiba jambatan yang sedang dalam pembinaan itu runtuh menyebabkan semua mereka terjatuh ke dalam anak sungai dan binaan itu juga turut terkena pengunjung lain yang sedang mandi.

"Notis mengenai pemberitahuan bahawa jambatan itu sedang dalam pembinaan sudah ditampal namun ada juga pengunjung yang tidak mengendahkannya mungkin disebabkan teruja dengan kewujudan jambatan gantung itu," katanya.

Ahmad berkata, ada beberapa daripada mangsa cedera dan sudah dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut. 

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: