PETALING JAYA: Majlis Gereja Malaysia (CCM) menolak cadangan dialog antara sarjana Islam dan Kristian bagi menyelesaikan kontroversi penggunaan kalimah “Allah” oleh orang bukan Islam.
Presidennya, Melter Jiki Tais dalam kenyataan berkata, usul itu yang dicadangkan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin hari ini “tidak sesuai” kerana kerajaan sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini.
Pada 10 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Nor Bee Ariffin memutuskan arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 5 Dis 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Solat” dan “Kaabah” oleh orang bukan Islam adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Katanya, arahan itu melampaui tujuan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Isnin lalu, kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang penganut Kristian tidak perlu akur kepada arahan 1986, oleh itu, mereka tidak dilarang menggunakan kalimah “Allah” dalam pendidikan dan buku agama mereka.
“Dengan sangat berhati-hati, dan mengambil kira perkara ini di peringkat Mahkamah Rayuan, kami berpendapat sangat tidak sesuai isu ini diselesaikan melalui dialog yang dicadangkan KDN, yang juga salah satu pihak yang membuat rayuan.”
Katanya, komuniti Kristian di Malaysia, terutamanya di Sabah dan Sarawak sentiasa mahukan kehidupan yang “aman, harmoni serta saling hormat-menghormati dengan komuniti agama lain”.
Terdahulu, Nor Bee hari ini berkata, Jemaah Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 1986 membenarkan penerbitan Kristian menggunakan kalimah “Allah”, dengan syarat tertera “Hanya untuk penganut Kristian sahaja” pada muka depan bahan itu.
Katanya, Jemaah Menteri membuat keputusan itu pada Mei 1986, tetapi pada 5 Dis 1986, satu arahan dikeluarkan KDN kepada semua penerbitan Kristian menyatakan penggunaan empat perkataan itu dilarang sama sekali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan