Isnin, 15 Mac 2021

Dua lelaki direman bantu siasatan insiden panah anjing hingga mati

Adie Sufian Zulkefli
Dua lelaki direman bantu siasatan insiden panah anjing hingga mati
Kedua-dua suspek yang dibawa dengan menaiki trak polis tiba di Mahkamah Alor 
Setar kira-kira jam 10.50 pagi tadi. - Foto Astro AWANI
 
ALOR SETAR: Dua lelaki direman tiga hari bermula hari ini sehingga 17 Mac bagi membantu siasatan kes memanah seekor anjing sehingga mati di Kampung Berjaya, dekat Alor Setar.
 
Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Noor Liyana Abd Rahim di sini hari ini.
Kedua-dua suspek sebelum itu dibawa dengan menaiki trak polis tiba di Mahkamah Alor Setar kira-kira jam 10.50 pagi.
 
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kedua-dua suspek ditahan secara berasingan pada jam 4 dan 5 petang semalam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.
 
Katanya, suspek pertama berusia 30-an ditahan di sebuah kelab golf di Jitra pada jam 4 petang.
 
Beliau berkata, hasil pemeriksaan polis merampas dua busur panah dan satu tabung pengisi anak panah berwarna hitam berserta 21 anak panah yang ditemui di rumah suspek pertama.
 
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai berhampiran lokasi kejadian merakam perlakuan seorang lelaki memanah anjing liar antara jam 4.21 pagi hingga 5.26 pagi. - Foto Astro AWANI
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai 
berhampiran lokasi kejadian merakam perlakuan 
seorang lelaki memanah anjing liar antara 
jam 4.21 pagi hingga 5.26 pagi. - Foto Astro AWANI
 
Susulan itu, suspek kedua berusia 20-an ditahan di tepi jalan di Kampung Hilir, Kepala Batas, kira-kira jam 5 petang.
 
Suspek pertama berasal dari rumah pangsa Seberang Terus, Mergong manakala suspek kedua berasal dari Bukit Pinang.
 
Tujuan pengadu datang buat laporan kerana bersimpati dengan haiwan itu dan tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki terbabit. - Foto PDRM
Tujuan pengadu datang buat laporan kerana bersimpati dengan 
haiwan itu dan tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki terbabit.
 - Foto PDRM
 
Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.
 
Tangkapan terhadap kedua-dua suspek dilakukan kerana terbabit dalam kes melakukan penganiayaan terhadap haiwan.

Kedua-dua suspek diserah kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015/ Seksyen 45 Akta Binatang 1953.
 
Dalam kejadian Khamis lalu Rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) di kedai berhampiran lokasi kejadian berjaya merakam perlakuan seorang lelaki memegang alat memanah dan memanah seekor anjing antara jam 4.21 pagi hingga 5.26 pagi.
 
Suspek kemudiannya dilihat meninggalkan lokasi itu dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja.

Tiada ulasan: