Rabu, 24 Mac 2021

Dron bantu temukan mayat kedua lemas lepas 28 jam hilang

Oleh MASTURA SURADI
 
MAYAT Muhammad Hibatullah Hakim Razak dijumpai pada pukul 3.27 
petang selepas dikesan oleh dron Jabatan Bomba dan Penyelamat 
Malaysia di Pantai Batu Layar, Kota Tinggi, Johor.

KOTA TINGGI: Selepas lebih 28 jam hilang, mayat mangsa kedua kejadian lemas di Pantai Batu Layar, di sini berjaya ditemukan pada pukul 3.27 petang tadi.

Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Sebana Cove, PPgB Khairul Sufian Dahari berkata, mayat Muhammad Hibatullah Hakim Razak, 23, berjaya dikesan oleh dron Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kira-kira 200 meter dari pantai.

“Mayat mangsa berjaya ditemukan menggunakan dron pasukan mencari dan menyelamat BBP Sebana Cove.

“Usaha untuk mendekati objek (mayat) melalui jalan darat dengan menggunakan personel floating device dan tali bagaimanapun tidak berjaya kerana keadaan ombak besar.

“Mayat mangsa kemudian diambil menggunakan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Musoh, Pengerang pada pukul 5.05 petang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Khairul Sufian berkata, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, kegembiraan tiga sahabat bercuti di Pantai Batu Layar, di sini semalam berakhir tragedi apabila dua daripadanya lemas dalam kejadian terbabit.

Mayat Muhammad Hariz Farhat Omar, 23 berasal dari Kedah ditemukan oleh orang awam di celah batu kira-kira 30 meter, semalam.

Seorang lagi rakan sekerja mereka, Bonny Anak Meranat, 42, terselamat dalam kejadian itu.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: