Sabtu, 6 Mac 2021

Awang Rasau telah tiada

Awang Rasau seberat 160 kilogram berjaya ditangkap di sebuah ladang sawit di Felda Kerteh 3, dekat Dungun pada 22 Februari lalu.foto FACEBOOK PERHILITAN

AWANG Rasau atau harimau belang yang ditangkap di sebuah ladang sawit di Felda Kerteh 3, Terengganu bulan lalu dilaporkan telah mati, hari ini.

Berita sedih itu dimaklumkan oleh Jabatan Perhilitan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerusi kenyataan di Facebook sebentar tadi.

 

Menurut kenyataan itu, kematian Harimau Malaya jantan berkenaan dilaporkan pada pukul 12.00 tengah hari ini di Hospital Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM) akibat komplikasi saraf, kegagalan sistem perkumuhan dan jangkitan kuman pada luka di kaki belakangnya. 

Sebelum ini Awang Rasau menderita kesakitan akibat kecederaan terkena lapan butir peluru yang ditembak oleh pemburu haram. 

“Peluru ini juga turut mengenai paru-paru serta sistem sarafnya yang telah menyebabkan harimau ini telah lumpuh separuh badan dan hanya boleh bergerak menggunakan kaki hadapannya sahaja. Luka kaki belakangnya akibat seretan juga amat serius.

“Setelah kesihatan Awang Rasau semakin merosot pada 3 Mac 2021, pihak Jabatan Perhilitan telah sedaya upaya menyelamatkan Awang Rasau ini dengan mendapatkan rawatan susulan serta nasihat Doktor Pakar di Hospital Veterinar UPM pada 4 Mac 2021 namun Awang Rasau masih tidak dapat diselamatkan,” kata kenyataan itu hari ini.

Awang Rasau seberat 160 kilogram berjaya ditangkap di sebuah ladang sawit di Felda Kerteh 3, dekat Dungun pada 22 Februari lalu.

Awang Rasau berusia lingkungan 15 tahun itu berjaya ditangkap membabitkan seramai 15 anggota Perhilitan Dungun dan Kemaman diketuai Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak

Tiada ulasan: