Dewi Nur Harasha Alias
Wanita
itu ditahan susulan laporan polis dibuat suaminya yang mengesyaki bayi
lelaki mereka didera berikutan terdapat kesan lebam pada tubuh bayi. -
Foto PDRM
BUTTERWORTH:
Polis Pulau Pinang menahan seorang wanita selepas dia dipercayai
mendera dan memukul anak kandungnya berusia tujuh bulan dalam kejadian
di sebuah pangsapuri di sini.
Wanita yang
berusia 25 tahun itu ditahan susulan laporan polis dibuat suaminya yang
mengesyaki bayi lelaki mereka didera berikutan terdapat kesan lebam
pada badan dan mata anaknya namun tidak mengetahui perbuatan siapa.
Ketua
Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd
Noor, berkata wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu telah
menghantar anak yang dalam jagaannya penjagaannya ke rumah suaminya di
Kuala Bekah, Penaga pada jam 4.30 petang Sabtu lalu.
“Pengadu
kemudiannya meminta kakak iparnya memandikan anaknya namun terkejut
sebaik dimaklumkan terdapat kesan lebam pada bahagian badan serta mata
anaknya.
“Pengadu seterusnya membawa
anaknya ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk pemeriksaan lanjut sebelum
pegawai perubatan mengesahkan terdapat kesan lebam di dahi, muka dan
perut sebelah kiri selain terdapat pendarahan di konjunktiva (mata) di
sebelah kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasil
siasatan lanjut ke atas suspek, dia memberitahu mangsa terjatuh dari
buaian ketika dalam jagaan kawan-kawan lelakinya di pangsapuri yang
didiaminya menyebabkan kecederaan tersebut.
“Bagaimanapun, keterangan diberikan suspek meragukan sebelum pihak polis menahannya bagi membantu siasatan," katanya.
Berdasarkan
siasatan awal, wanita itu dan suaminya tinggal berasingan namun sering
menghantar bayi mereka ke rumah ibunya untuk dijaga.
Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah dan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes narkotik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan