MGF_11032021_PC-KETUA-POLIS-NEGARA_11
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bercakap pada sidang media khas di Ibu Pejabat Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK,

KUALA LUMPUR – “Saya akan ambil tindakan tegas ke atas Ketua Polis Negeri (CPO) jika gagal mengawal anggota mereka yang duduk berehat di kawalan sekatan jalan raya (SJR)”.

Itu amaran tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menyatakan kekesalannya selepas menerima aduan ada sekelompok anggota polis didakwa mengambil ringan tanggungjawab mereka berkawal di SJR termasuk sempadan negeri-negeri.

“Seperkara lagi, saya perhatikan sejak lima hari kebelakangan ini bahawa statistik kes jangkitan Covid-19 harian menurun dan itu satu petanda baik.

“Maka saya sudah mengarahkan semua ketua polis negeri seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak memperketatkan semaksimumnya kawalan SJR yang mana pemeriksaan kenderaan akan dibuat secara lebih gigih dan tegas mengelak sebarang percubaan rentas negeri ikut mana-mana laluan termasuk lorong tikus.

“Semua CPO (ketua polis negeri) diminta supaya mengarahkan setiap pasukan petugas anggota polis di SJR termasuk di Lebuhraya Utara Selatan dan Timur Barat sempadan negeri tiada ruang rehat dalam kawalan sekatan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Abdul Hamid, beliau mendapati ada sebilangan anggota polis di lapangan duduk di khemah rehat dalam SJR sehingga membiarkan kenderaan begitu sahaja.

Mereka hanya melambai tangan tanpa mengambil serius keadaan semasa, katanya.

Beliau tidak malu untuk untuk mendedahkan kelemahan itu walaupun sangat menghargai khidmat gigih sebahagian besar petugas PDRM di lapangan dengan bantuan ATM, Rela dan Angkatan Pertahanan Awam namun kesal ada segelintir  mengambil ringan tanggungjawab mereka.

“Waktu rehat sembahyang diizinkan secara bergilir sementara boleh rehat seketika misalnya 10 orang bertugas di SJR di waktu puncak dan waktu sesak semua perlu turun kawal pemeriksaan supaya dapat mempercepatkan laluan kenderaan pada masa yang sama diperiksa tegas manakala di luar waktu puncak tiga orang boleh mengawal dan tiga lagi bolehlah rehat sebentar.

“Tapi bukan sampai goyang kaki lambai tangan setiap masa.

“Saya tak mahu PDRM dipersalahkan, dan tak sanggup lihat sekali lagi wujud kluster interstate berdozen seperti sebelum ini. Sabah Sarawak saya dapat maklumat SJR sangat longgar dan tindakan segera diambil memperketatkan tahap kawalannya,” tegasnya.

Abdul Hamid sudah memberi amaran kepada pegawainya supaya meningkatkan kawalan untuk mengelak berlaku rentas daerah dan negeri sewenang-wenangnya.

Beliau  tidak menolak kemungkin berlaku pergerakan rakyat ‘curi balik’ ke negeri-negeri dalam masa beberapa hari ini termasuk ke Pantai Timur, Perak dan Pulau Pinang dan mahu pasukannya bersedia dan memantau apa yang berlaku.- MalaysiaGazette