Rabu, 24 Mac 2021

ABIM bantu kempen terima vaksin

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyokong pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) oleh kerajaan.

Sehubungan itu, Ketua Biro Kesihatan, Dr Zafri Ismadi Mohd Anis, berkata ABIM akan bersama membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mempromosi sekali gus menggalakkan rakyat negara ini mendaftar untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

Beliau berkata, vaksin diibaratkan 'senjata' ampuh yang penting untuk memerangi penularan pandemik kerana mempunyai keberkesanan yang tinggi.

"Vaksin adalah antara senjata ampuh yang penting dalam melawan pandemik COVID-19 bukan sahaja di negara ini, malah di seluruh dunia. Pencegahan penyakit berjangkit menggunakan vaksin adalah satu kaedah yang terbukti berkesan dan berjaya dilaksanakan untuk pelbagai penyakit berjangkit lain seperti acar, campak dan polio.

"Keberkesanan vaksin yang sangat tinggi (kebanyakan melebihi 90 peratus) daripada pelbagai pembuat vaksin juga telah terbukti dengan ujian klinikal kepada puluhan ribu orang subjek ujian ini. Ini mengukuhkan keyakinan bahawa vaksin ini boleh menjadi alat utama dalam mencegah jangkitan COVID-19.

"Setiap daripada kalangan kita yang menerima imunisasi bukan sahaja melindungi diri malah melindungi mereka di sekeliling kita. ABIM sebagai sebuah gerakan ilmu dan bakti akan turut sama membantu dan mempromosikan usaha ini kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, program suntikan imunisasi COVID-19 adalah sesuai dengan prinsip Maqasid Syariah iaitu bermatlamat untuk melindungi nyawa ataupun hifzun-nafs.

"Sememangnya mudarat daripada jangkitan COVID-19 adalah jauh lebih besar dan berbahaya berbanding risiko vaksin. Dengan ini, ABIM meminta rakyat Malaysia daripada semua golongan khususnya mereka yang berisiko tinggi untuk mendaftarkan diri dalam PICK dan mengambil vaksin itu," katanya.

Tiada ulasan: