Rabu, 24 Mac 2021

14 rumah, stor masjid di 4 kampung rosak akibat puting beliung

Yan: "Saya hanya sempat menyebut 'Allah' sebaik melihat pusaran angin puting beliung menghampiri rumah dan belum sempat berbuat apa-apa, dinding kayu bahagian atas rumah diterbangkan angin," kata Darus Ismail, 63.

Dalam kejadian jam 3 petang tadi, kira-kira 14 rumah dan stor sebuah masjid di empat kampung di daerah ini rosak dengan kebanyakan bumbung diterbangkan angin, namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan walaupun kebanyakan penghuni rumah berada di kediaman masing-masing.

Antara kampung terbabit ialah Kampung Sungai Kering, Kampung Kuala Sedaka, Kampung Selengkoh dan Kampung Kabu 10.

Keadaan itu menyebabkan hampir 70 mangsa di empat kampung itu terpaksa menumpang sementara di rumah saudara.

Darus berkata, kejadian angin kencang tanpa hujan itu berlaku tidak sampai lima minit.

Katanya, hanya dia dan isteri, Faridah Ismail, 57, serta anak bongsu, Mohd Zakuan Darus, 18, berada dalam rumah sebelum terdengar pusaran angin dari jauh.

"Saya dengar desiran angin itu kuat sebelum serpihan kayu jatuh bertimpa.

"Tidak lama kemudian selepas pusaran angin itu pergi, saya nampak bumbung berterbangan jatuh di belakang rumah anak yang terletak bersebelahan rumah kami," katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Kering, di sini, hari ini.

Menantunya, Siti Norshakirah Rosdi, 25, pula berkata, dia sempat memanggil anaknya, Muhammad Ammar Mohd Firdaus, 1, yang ketika itu sedang bermain di ruang tamu rumah.

Beliau berkata, sebaik melihat anaknya datang ke arahnya, secara tiba-tiba serpihan bumbung zink jatuh ke lantai.

Sementara itu, Ketua Bahagian Operasi Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan 14 rumah dan sebuah stor masjid di empat kampung terjejas dalam kejadian puting beliung itu.

Beliau berkata, enam rumah itu di Kampung Sungai Kering dan sebuah masjid, Kampung Kuala Sedaka (4 rumah), Kampung Selengkoh (2 rumah) dan Kampung Kabu 10 (2 rumah).

Tiada ulasan: