Inisiatif program UiTM Prihatin libat kesemua kampus UiTM
SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersedia menggerakkan 15,000 warganya termasuk alumni di bawah Misi Sukarelawan Pascabanjir untuk membantu mangsa banjir di beberapa negeri ketika ini.
Menurut kenyataan UiTM hari ini, misi itu merupakan inisiatif program UiTM Prihatin yang melibatkan kesemua kampus UiTM.
“Pihak UiTM berasakan bantuan pascabanjir ini amat penting dan memerlukan tenaga kerja yang ramai.
“Perkhidmatan dan bantuan yang akan dihulurkan ialah khidmat pembersihan pascabanjir di institusi-institusi dan rumah-rumah yang terjejas di kawasan yang berkenaan,” demikian menurut kenyataan itu.
Menurut UiTM, jawatankuasa bencana di setiap kampus cawangannya akan beroperasi 24 jam setiap hari dan bersedia menerima sebarang maklumat serta menghulurkan bantuan yang diperlukan, khususnya kepada warga UiTM yang terlibat dalam bencana itu.
Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Ir Mohd Azraai Kassim berkata inisiatif tersebut merupakan satu misi bantuan kemanusiaan yang perlu dilakukan bagi meringankan beban mangsa banjir.
“Bencana ini merupakan satu ujian untuk kita semua dan sekali gus menunjukkan semangat kebersamaan dan kasih sayang kita terhadap mereka yang terkesan, khususnya warga UiTM,” katanya dipetik oleh kenyataan itu.
Dalam pada itu, program UiTM Prihatin turut melancarkan Tabung Bencana Banjir dan sumbangan kepada tabung tersebut boleh dibuat melalui akaun amanah Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) 12177010005741.
“Untuk keterangan lanjut, boleh hubungi Pegawai Kokurikulum Kanan, Pusat Kokurikulum, Bahagian Hal Ehwal Pelajar Ku Hadzrill Jeeffry Ku Hamzah di talian 03-5544 3590 atau e-mel ke kuhadzrill@uitm.edu.my,” kata UiTM. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan