KOTA BHARU: Tugasan dan rondaan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sepanjang sempadan Malaysia -Thailand berhampiran Sungai Golok di Rantau Panjang tetap berjalan walaupun hampir keseluruhan jalan raya di sempadan kedua-dua negara terputus, kata pegawai pemerintah Batalion ke-7 PGA (PGA7) Azhari Nusi.
Beliau berkata, tugasan anggota tetap diteruskan serta rondaan dijalankan dengan menggunakan trak yang mampu mengharungi air di kawasan yang tidak dapat dilalui kenderaan kecil.
“Malah kita kini menumpukan pemantauan di lorong tikus bagi mengesan dan membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.
Secara keseluruhannya, penugasan Op Benteng masih dalam keadaan terkawal dan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya semalam.
Azhari berkata, selain menjalankan tugasan pembanterasan penyeludupan di sempadan negara, PGA7 juga tidak ketinggalan membantu mangsa banjir di kawasan terjejas antaranya di sekitar Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah menggunakan lori dan bot.
“Operasi memindahkan mangsa yang dijalankan adalah hasil kolaborasi antara agensi, termasuk tentera, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.
Beliau juga berkata, limpahan air dari Sungai Golok dekat Rantau Panjang, Pasir Mas yang kini mencatatkan paras 10.65 meter turut memberi kesan kepada pos kawalan PGA berhampiran sungai itu yang turut dinaiki air antara 0.5 hingga 2.2m.
Azhari Nusi berkata, sejak banjir mula melanda beberapa hari lepas kawasan di bawah tanggungjawab PGA turut dinaiki air sehingga memaksa 28 pegawai dan anggota di pos kawalan dipindahkan ke kawasan lebih tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan